MH370


Terkini

Badminton

Skuad sepak takraw Malaysia longlai dilibas Skuad Sukan Asia Indonesia



Aksi sepak takraw Malaysia menentang Indonesia - Skuad sepak takraw Malaysia longlai dilibas Skuad Sukan Asia Indonesia

Percaturan kurang 'menyengat' menjadi punca utama kekalahan skuad sepak takraw lelaki negara di Temasya Sukan Asia ke-17 selepas kalah kepada Indonesia 2-1 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Gimnasium Bucheon, hari ini.

Kebanyakan daripada pemain negara adalah pemain baharu yang kurang berpengalaman, malah ada antara mereka membuat penampilan pertama dan tidak pernah beraksi di kejohanan besar seperti Sukan SEA.

Pada aksi regu pertama, pemain negara yang dianggotai Mohamad Fadzli Muhammad Roslan, Izurin Refin dan Amirul Zazwan Amir kalah 0-2 dengan kutipan mata 19-21, 14-21 kepada regu Indonesia (Saiful Rijal-Victoria Eka Prasetyo-Syamsul Hadi) dalam masa 48 minit.

Pasukan negara kembali ceria apabila regu kedua (Mohd Zamree Mohd Dahan-Mohammad Syahir Mohd Rosdi-Mohd Syazreenqamar Salehan) menyumbang mata pertama biarpun terpaksa berkerja keras selama satu jam dua minit untuk menundukkan regu Indonesia yang dibarisi Nofrizal-Yudi Purnomo-Abrian Sihab Aldilatama-Yovi Hendra Utama mata 22-20, 25-23.

Namun, kegembiraan Malaysia tidak bertahan lama apabila regu ketiga yang dibarisi Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi-Mohd Kamal Alfiza Shafie-Zuleffendi Sumari gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 0-2 dengan mata 11-21, 21-23 kepada regu Indonesia (Husni Uba-Syamsul Akmal-Hendra Pago) juga dalam masa 48 minit.

Jurulatih negara, Jamaluddin Hassan berkata anak buahnya gagal mengguna sebaik mungkin peluang yang terhidang di depan mata menyebabkan Malaysia gagal meraih mata.

"Ini bukan bermakna saya menyalahkan pemain kerana mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kebanyakan daripada barisan pemain yang beraksi kali ini terdiri daripada pemain baharu yang kurang berpengalaman jika dibandingkan dengan pasukan Indonesia," katanya.

Beliau berkata beberapa kelemahan dapat dilihat pada pemain apit kiri dan kanan dan ia harus segera diperbaiki sebelum bertemu China, esok.

"Kita gagal menamatkan beberapa serangan yang boleh disifatkan 'bola mati' dan peluang tersebut diguna sebaik mungkin oleh Indonesia yang sentiasa menunggu peluang bagi mendapat mata," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan dengan China, Jamaluddin berkata Malaysia perlu menang jika ingin mara ke suku akhir kerana hanya dua pasukan terbaik kumpulan layak ke peringkat seterusnya.

Malaysia dijangka berhadapan saingan sukar di peringkat suku akhir apabila tidak dapat mengelak daripada bertemu musuh tradisi mereka iaitu Thailand.

Jurulatih Indonesia, Muhammad Syukur Saing berkata Malaysia tidak kurang hebatnya berbanding Indonesia cuma nasib lebih menyebelahi pasukan 'Garuda'.

"Pemain Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri walaupun dibarisi pemain baharu. Kelebihan dapat dilihat pada pemain tekong regu kedua yang dilihat berbakat," katanya.
- BERNAMA

Skuad sepak takraw Malaysia longlai dilibas Skuad Sukan Asia Indonesia Reviewed by Admin on 12:22 AM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by SatuArena © 2008 - 2019
Powered By Blogger, Designed by Beritaup2date

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.